Showing posts with label Corat coret. Show all posts
Showing posts with label Corat coret. Show all posts

April 3, 2018

Family Hall

Projek DIY saya pada minggu lepas adalah mengubah ruang bekerja 'hubby' (family hall) menjadi medan ilmu kami sekeluarga. Ruang masih banyak yang kosong. Berkonsepkan pejabat dan perpustakaan mini, saya akan membuat penambahan rak buku dan bahan bacaan. Dinding pula akan dihiasi dengan lukisan mural agar suasana lebih mendamaikan. 'Hubby' yang kebiasaannya mengaji di bilik solatnya, sudah mula beralih tempat ke meja 'study'.

Begitu juga Amirul, sebelum ke sekolah, sudah mula mengalunkan surah Al-Waqiah, dan Surah Al-Mulk sebelum tidur. Alhamdulillah, moga terus istiqomah. Sudah tiba masanya saya mengubah dekorasi di dalam rumah seperti yang saya inginkan. Sebelum ini saya biarkan beberapa tempat, kosong tanpa perabot untuk memberi ruang anak2 syurga saya bermain.

Bahagian seterusnya ialah bilik Amirul yang akan saya warnakan mengikut warna kegemarannya iaitu biru. Hiasan dinding dengan medal dan sijil daripada beberapa pertandingan dan anugerah.

Bahagian 'car park' pula akan dibuat dekorasi yang minimal kerana saya merancang untuk membuat kebun bandar mini dengan tanaman sayur sayuran dan buah-buahan. Semoga saya punya kekuatan untuk merealisasikan keinginan ini.


Saya bercadang membuat mural di ruang kosong
bersebelahan rak buku.


Photo yang diletakkan di atas rak buku merupakan projek DIY saya beberapa tahun lepas. Saya bercadang untuk menambah beberapa hiasan 'canvas frame' yang ingin saya DIY kan juga. Namun, setelah mengetahui wujudnya applikasi 'Photobook Worldwide', saya sedikit lega kerana pastinya akan memudahkan kerja DIY saya nanti. Cuma memerlukan sedikit proses 'editing' menggunakan aplikasi Photoshop sebelum di 'email' kepada mereka. Ianya sangat murah dan mudah.


Online Servis: 
Hardcover Photobooks, Photo Prints, Home Decor dan Calendar

April 2, 2018

Bertahan dan Melupakan

Jam di dinding sudah semakin menghampiri ke angka 12.00 malam. Mata saya masih segar walau pun badan sudah agak penat dengan rutin seharian. Saya tergerak untuk berkongsi sedikit rasa hati 'seorang saya' yang telah dan sedang diduga dengan berbagai ragam kehidupan. Walau apa pun rasa yang wujud, 'seorang saya' tetap berdiam. Saya kunyah hancur dan telan. Gusar sekiranya dikupas, diluah, kucar kacirlah keadaan.

Saya masih mampu bertahan walau pun ada perkara kurang enak terdengar di telinga. Diam saya bermakna, terlihat dungu di mata mereka. Ya dungu untuk menutup cerita. Saya menyampai pada yang saya percaya yang akhirnya juga berpaling muka. Baiklah, saya akan terus berdiam kerna saya tidak perlukan hakim di kalangan manusia. Saya juga tidak perlukan sokongan sesiapa. 

Moga Allah kuatkan hati saya untuk terus menjadi 'bisu' dan menjauh dari mereka supaya hati saya rapi terjaga. Menegur sekadar berbahasa, jika berlebihan pasti dimanipulasi lagi dan lagi. Cukuplah cerita sedia yang sentiasa di'bidaahkan' demi kepentingan diri. Saya beralah, saya mengalah, tak mengapa asalkan tidak terputus saudara. Saya sayangkan setiap hubungan yang terjalin. Allah juga membenci sesiapa yang tega memutuskan siratulrahim.

Jika hati resah rasa bersalah, mohonlah maaf. Lembutkan hatimu. Hiduplah dengan tenang. Esok lusa jika diambil yang dipinjam, rugilah kita. Diambil jasad, ditinggalkan kenangan yang tiada untuk dikenang. Saya juga sentiasa memohon maaf walau pun bukanlah salah saya sepenuhnya. Nabi juga ampunkan umatnya, siapalah kita untuk menolak kemaafan saudara seagama.

Didiklah hati untuk sentiasa memaafkan. Campak buang ego si pendosa. Cari kemanisan bersaudara.


Ehsan Google

February 22, 2018

Coretan Rasa

Khilaf tanpa sedar, terduduk. Marah yang kadang2 hadir menolak seluruh rasa baik. Sakit yang datang tanpa diundang.

Bagaimana untuk ikhlas tanpa membalas, dek rasa marah yang kian parah. Kata nista dilempar padu, sisi buruk si penglipur lara, tiada pula tampil bersuara.

Menjauhlah, kawal rapi emosi. Pesan pada hati, tutuplah pintu sengketa. Jangan pernah membeza-beza. Pahat di minda, liang itu pengakhiran kita. Jangan pernah mendabik dada.

Tersilap langkah, mengundur tentu payah. Terperangkap. Namun gundah pasti berlalu pergi, bersama dewasanya rasa, ranumnya masa.

Gelombang ombak merah ganas mengemudi, jahatnya merabak tepian. Harapan telah hilang, sebaik amanah dibuang. Jika bukan 'ahli' yang mengurus, tunggulah kehancuran.





February 13, 2018

Berat Badan

Berat saya kini adalah 50kg dengan ketinggian 159cm. Satu masa dahulu berat badan pernah mencapai sehingga 58kg iaitu selepas kelahiran anak pertama secara 'cesarean' dan penggunaan 'implanon' sebagai kaedah perancang keluarga. Berat badan naik dengan jayanya. Mungkin disebabkan oleh perubahan hormon. Waktu itu juga emosi saya tidak stabil dan saya selalu merasa penat seterusnya menjadi seorang yang pemarah. Sangat tidak bagus untuk keharmonian keluarga. 

Hanya beberapa tahun selepas itu saya mula praktiskan pengambilan makanan yang lebih seimbang sekaligus merubah angka 58kg tadi menjadi 50kg dan ianya kekal sehingga  kini. Berat badan memang berhubung secara langsung dengan gaya pemakanan kita. Biasanya saya akan mengambil segelas air masak + perahan lemon di awal pagi. Kemudian bersarapan dengan 2 keping roti bersama secawan teh kurang manis. Tambahan sebiji telur jika masih berasa lapar. Kemudian ambil lagi segelas air masak. Cukup setakat itu untuk sarapan.

Jika perut masih tidak selesa, buah2 an  akan menjadi menu sarapan juga. Tengahari wajib makan nasi 2 genggam dengan berlaukkan ayam/ikan/daging/telur dan sayur + air putih. Makanan tengahari adalah wajib sebagai bekalan tenaga untuk anggota badan kita terus bekerja. Lagi2 sebagai suri rumah sepenuh masa, a.m. ke a.m. saya masih menggunakan kudrat untuk mengemas, memasak dan sebagainya. 

Petang saya akan jadikan timun Jepun sebagai 'jajan' yang juga merupakan makanan kegemaran saya. Makan malam wajib diambil sebelum jam 7.00. Malamnya saya hidangkan minuman panas kurang manis untuk suami dan anak2 dan saya pula hanya mengambil segelas air putih. Ini rutin yang saya amalkan untuk 3 ke 4 bulan pertama. Memang banyak penurunan dalam angka kg itu. Kemudian saya kekalkan dengan senaman di rumah sahaja 3 kali seminggu.

Makan dengan kerap dalam kuantiti yang sedikit adalah lebih baik. Jadikan timun/tomato/kacang Gajus sebagai jajan.

Saya mengikuti senaman 'Body Workout with Tammy'. Boleh rujuk youtube. Paling penting konsisten. Sebenarnya saya tidak merancang untuk penurunan berat badan yang drastik. Saya hanya fokus untuk pemakanan yang sihat dan seimbang yang akhirnya merubah berat badan saya dan kekal sehingga kini.

Hanya selepas anak kedua berumur 4 tahun, saya mula melibatkan diri dengan aktiviti 'outdoor' iaitu zumba dan 'hiking'.

Emosi yang stabil juga sangat penting supaya kita sentiasa tenang dan positif yang mana akan mempengaruhi rasional seseorang. Latih diri untuk sentiasa tenang. Jauhi persekitaran negatif baik sahabat atau fikiran sendiri. Cara saya membaca dan mengaji.

February 12, 2018

Bermula Latihan

Pada petang Ahad, jam 4.00 hingga 6.00, Amirul sudah mula mengikuti latihan 'personal coaching' dengan seorang jurulatih Muay Thai, coach Syafiq. Seawal 12 tahun coach Syafiq telah menyertai perlawanan taekwondo mewakili Malaysia ke Korea.

Disebabkan keinginan untuk mencuba sesuatu yang lebih mencabar, coach Syafiq telah beralih arah pula ke sukan Muay Thai, yang kini telah menjadi salah satu aktiviti kokurikulum di beberapa buah sekolah di bawah kelolaannya.

Semoga  ilmu yang ada padanya dapat diperturunkan pula kepada Amirul. Seorang yang berpengalaman, sayangnya jika ilmu yang ada padanya tidak dimanfaatkan. Semalam Amirul belajar ' basic stretching' yang saya kira sangat penting untuk 'flexibility' kaki dan badan. 

Saya hanya sempat melihat sesi latihan tersebut untuk beberapa ketika sahaja kerana saya juga punya agenda lain iaitu 'hiking'. Jam 6.00 petang sesi latihan selesai dan coach meninggalkan nota 'homework' untuk Amirul 'practice' setiap hari. Minggu hadapan Amirul akan ke 'step' seterusnya.



February 11, 2018

Hiking

Saya terima satu pesanan ringkas dari 'cousin' untuk menemaninya mendaki Bukit 300 di Teluk Batik. Sebelum ini hampir 3 bulan saya bercuti dari 'Hiking' disebabkan 'rumors' ada penunggu di situ. Agak menakutkan kerana saya selalu mendaki berseorangan. Saya lebih selesa mendaki secara solo kerana saya kurang pandai berborak.

Untuk memulakan perbualan saya rasa agak berat kecuali dengan orang yang saya sudah biasa dengannya seperti zaman sekolah dan universiti. Mungkin ada yang melabel saya seorang yang agak membosankan. 'Socializing is a hard work for me'.

Petang ni, saya cuba untuk mengekalkan rekod mendaki saya dahulu. 45 minit mendaki dan 30 minit untuk turun.

Peneman saya satu ketika dahulu

Berjaya mendaki hari ini.

February 8, 2018

Ingatan

Hari ini saya dihubungi oleh seseorang yang saya nantikan. Mesej dan suaranya sudah cukup menghilangkan gusar di hati selama ini. 

Semenjak dua minggu ini ingatan saya padanya sangat kuat. Betul apa yang diperkatakan, di saat kita teringatkan seseorang, kita juga sebenarnya sedang bermain di fikiran mereka.

Di setiap salam perkenalan yang wujud, ada ikatan yang sedia terjalin, ada perasaan yang berpaut dan ada rindu yang bertaut.

Seseorang yang saya hormati yang saya anggap sahabat.


July 18, 2017

Opah

Petang tadi saya ke rumah rakan sekolah untuk berjumpa dengan opahnya. Hampir 23 tahun yang lalu, semasa di tingkatan tiga, saya sempat membesar dengan memori bersama opah. Layanan opah yang sangat baik dan lembut, sentiasa mengingatkan saya dengannya. Umur opah sudah melebihi 80 tahun, namun ingatannya masih kuat.

Seronok berbual, mengingatkan saya di zaman persekolahan dulu. Semuanya indah, tiada masalah. Pelbagai cerita yang dibualkan termasuklah mengenai sukan kegemaran Amirul. Sahabat saya mengajak kami untuk sama2 bertukar ke kelab lain. Kelab yang lebih efisyen katanya. Amirul pun saya rehatkan sehingga hujung tahun untuk memberi tumpuan pada pelajaran. Kelab baru untuk Amirul akan saya fikirkan kemudian. Moga2 kali ini tiada lagi provokasi dan dapat pula berdamping dengan ibu bapa baru yang lebih positif.

July 9, 2017

Masih Belajar

Pagi ini kami bersarapan bermenukan char kue tiaw, alhamdulillah. Sambil menikmati sarapan pagi, saya memberitahu rancangan saya kepada suami mengenai kelas bahasa Arab dan kelas jahitan. Saya sudah bersedia untuk belajar lagi.

Saya sedang dalam proses menghafal Al-Quran, jadi kelas bahasa Arab ini mungkin boleh membantu hafazan saya. Saya sudah mempunyai mesin jahit, namun saya tidak ada asas menjahit. Mesin jahitan hanya digunakan untuk menjahit pakaian yang koyak. Rugikan.

July 8, 2017

Hiking lagi

Seawal jam 7.30 pagi saya sudah bertolak ke Teluk Batik untuk aktiviti 'Hiking' bersama prince charming saya, Amirul. Catatan mendaki, 45 minit dan turun 30 minit.

Minggu depan saya akan cuba mendaki dengan lebih cepat. Kali ini badan terasa lebih ringan dan selesa. Amirul juga seperti sudah biasa berbanding pada permulaan mendaki dulu.

Ramai kaum Cina yang mendaki. Kagum dengan mereka, ada yang seusia ibu saya turut juga mendaki. Hari ini misi mendaki berjaya.



July 4, 2017

Aktiviti

Pada bulan puasa yang lepas, saya telah mendaftar untuk mengikuti kelas 'workout' untuk setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Saya hanya pergi seorang diri dan berkenalan dengan sahabat2 baru yang kebanyakan berbangsa Cina.

Setiap sabtu pagi pula, jam 8 hingga 9.30 saya dan Amirul melakukan aktiviti 'hiking' di Bukit 300. InsyaAllah saya akan terus menjadikan aktiviti ini sebagai aktiviti wajib untuk kami. Pergerakan dan kawalan kaki sangat bagus untuk sukan kegemaran Amirul.


Kali pertama 'hiking' selepas bercuti menyambut Aidlfitri.

June 30, 2017

Tender

Semalam saya terima satu mesej untuk 'freelance job' saya. Saya sepatutnya membuat 'write up' untuk menyertai satu tender pada cuti Hari Raya yang lepas. Sebenarnya, saya tidak mendapat info lengkap dan saya andaikan mereka tidak berminat.

Malam tadi saya agak buntu untuk menyiapkan tugasan tersebut. Saya hanya mampu bertahan sehingga jam 1.30 pagi dan tidur tanpa apa2 bahan untuk dihantar kepada mereka. dan pagi ini saya cuma mampu menyiapkan 10% sahaja. 'Submission' sebelum jam 11 pagi. Sebenarnya saya ingin menolak 'job' yang diberi kerana terikat dengan masa. Semoga saya diberi kekuatan untuk menyiapkan tugasan.

June 28, 2017

Rutin biasa

Hari ini, 4 Syawal, saya dan keluarga selamat tiba di syurga kami. Kami pulang sehari lebih awal dari hari percutian yang dirancang. Kenderaan utama kami perlu dihantar ke bengkel, ada sedikit kerosakan. Saya pula akan kembali ke rutin asal.

Berat badan telah berubah angkanya. Saya betul2 menikmati suasana berhari raya dan juga juadahnya. Masakan MIL yang tiada di tempat lain. Begitu juga ibu saya yang tanpa gagal cuba menyediakan makanan kegemaran saya. Terima kasih untuk kasih sayang itu.

Jumaat, 6 Syawal saya akan kembali ke kelas 'workout'. Sabtu pagi pula 'hiking'. Harap dapat kembalikan berat badan asal secepat yang mungkin. Badan rasa sangat tidak selesa. 

October 15, 2012

Khas untuk AVM

Minggu yang lalu, saya telah meninggalkan komen di blog Tuan Mazidul Akmal berkaitan post penceramah pencegahan jenayah, Kamal Affendi yang mengidap AVM. Di antara pembaca-pembaca yang turut meninggalkan komen, ada seorang pembaca yang menghantar mesej peribadinya kepada saya, bertanyakan mengenai penyakit kami.




Pesanan ringkas:


Wahai insan yang sedang menderita menghidap pelbagai penyakit di dunia ini, bersabarlah.. Kamu insan terpilih... Allah sedang mengujimu.. Dia menyayangimu dan Dia sedang memadam sedikit dosa-dosamu... Perbanyakkan zikir..

Setiap penyakit yang didatangkan Allah kepada kita umat Islam adalah ujian terhadap keimanan kita kepada-Nya. Sama ada berat atau ringan ujian itu, tujuannya adalah untuk menghapuskan dosa jika kita bersabar. Segala penyakit, punya rawatan, ada penawarnya kecuali tua dan mati.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

 "Mereka bertanya: Ya Rasulullah, apakah kami berubat? Baginda menjawab; Ya Wahai hamba Allah, sesungguhnya Allah meletakkan penyakit dan diletakkan pula penyembuhannya, kecuali satu penyakit iaitu penyakit ketuaan."  (Riwayat Abu Sunnah) 

“Dan sesungguhnya akhirat itu lebih baik bagimu daripada kehidupan sekarang” (Ad-Dhuha: 4)


July 7, 2012

Main masak-masak

Sudah agak lama suami minta dibuatkan 'home made Pizza'. Jadi, pada minggu lepas, saya mencuba resepi melalui internet. Alhamdulillah, menjadi, tersenyum suami dan anak. Saya juga berpuas hati kerana ini kali pertama mencuba.


Bahan2 yang digunakan untuk membuat pizza. Hanya bahan yang asas.




 

Teruja kerana pertama kali saya mencuba dan saya tidak sempat mengambil gambar, pizza sudah hilang di mata. 

June 15, 2012

Terima Kasih Allah

Terlalu lama ku pendam itu
tiada yang pernah tahu, hanya Allah yang satu
tempat ku mengadu siang malam bersilih datang
mereka, tiada seorang pun yang kenal aku…

Luaran…  jelas itulah aku, perempuan, anak, ibu, isteri, jiran, kawan
abstraknya dalaman buat aku keliru, buntu, menangis, merayu
Ya Allah, Engkau pulihkanlah aku, kembalikanlah aku seperti dulu..
doa ditutur juga celaru, Hanya Allah yang tahu sakitnya begitu..

Andai bisa ku labelkan ‘For Display Only’
akan selesai masalahku
yang memandang pasti menilai dan terus berlalu
tapi aku manusia.

Ya Rabbul Izzati..
hanya Engkau yang Maha Mengetahui..
logik tiada rasional, sakitnya rasa
pada yang mencemuh menghina 
tiada yang datang bertanya

Lima belas tahun berperang rasa dan..
Ya Allah.. air mata syukurku mengalir.. 
kini hanya tinggal sisa-sisa payah, cebisan resah
yang akan kubilas dengan amalan
titipan dari kitab suciMu, Al-Quran..

Tiba masanya...
Perlahan-lahan rasa itu datang
Jika kutahu hadiah ini yang dijanji...

Terima kasih Ya Allah,
kuatnya hati tidak kusedari
lantaran padunya keyakinan padaMu

Terima kasih Ya Ilahi,
izinkan aku melangkah lagi
mendekatiMu Ya Rabbi..

Nukilan rasa :
Azwa
15/6/2012




March 26, 2012

Agak Gementar

Akhir2 ini Amirul sudah beberapa kali minta dihantar ke taska, mungkin sudah wujud perasaan untuk berkawan. Saya pula terasa berat untuk berjauhan darinya.. Sudah 2 tahun selalu bersama ke mana sahaja. Atas persetujuan bersama suami, Amirul saya amanahkan kepada penjaga taska sehingga jam 1.00.

Semenjak Amirul di taska, saya pula kebosanan. Saya cuba mencari kerja untuk mengisi waktu yang terluang, risau jika semakin lama saya begitu, Amirul terpaksa pula saya keluarkan dari taska, dan pada minggu yang lepas, saya telah mendapat panggilan temuduga sebagai 'Contract Admin'. Hampir 2 tahun saya tidak bekerja, jadi saya sedikit gementar semasa sesi temuduga dijalankan. Ditambah pula sebelum ini saya tiada pengalaman bekerja sebagai 'contract admin'. Alhamdulillah, rezeki saya, minggu depan saya akan mula bekerja semula. Amirul sudah pasti saya tinggalkan di taska sehingga petang. Bagaimana agaknya reaksi Amirul.



January 17, 2012

Blog = Diary = Share = Suka2

Saya sangat suka membaca coretan dan catatan harian beberapa blogger yang tidak dikenali. Bahasanya ikhlas dan meninggalkan kesan di hati. Pun begitu, saya juga gemar mengikuti perkembangan beberapa blogger yang dikenali. Kebiasaannya di blog2 ini pasti mempunyai beberapa 'gadget' dan 'post' seperti di bawah.


1. Mesti ada Followers Widget : Checked!


2. Blog Walking (BW) : Ada.


3. Entry Menarik : Entry saya sekadar berkongsi rasa.


4. Comment : saya pernah komen beberapa kali.


5. Contest : untuk mengeratkan lagi hubungan antara blogger.

Nota saya :
Saya suka berkongsi cerita tentang perjalanan hidup saya dan sekadar melepaskan apa yang terpendam di hati. Terima kasih pada yang sudi membaca.


November 1, 2011

Cinta Pada Suami Yang Semakin Pudar

Credit to:









Suami saya adalah serorang jurutera, saya mencintai sifatnya yang semulajadi dan saya menyukai perasaan hangat yang muncul dihati saya ketika bersandar dibahunya. 3 tahun dalam masa perkenalan dan 2 tahun dalam masa pernikahan, saya harus akui, bahawa saya mulai merasa letih…lelah, alasan-alasan saya mencintainya dulu telah berubah menjadi sesuatu yang menjemukan. Saya seorang wanita yang sentimental dan benar-benar sensitif serta berperasaan halus.

Saya merindui saat-saat romantis seperti seorang anak kecil yang sentiasa mengharapkan belaian ayah dan ibunya. Tetapi, semua itu tidak pernah saya perolehi. Suami saya jauh berbeza dari yang saya harapkan. Rasa sensitifnya kurang. Dan ketidakmampuannya dalam menciptakan suasana yang romantis dalam perkahwinan kami telah mematahkan semua harapan saya terhadap cinta yang ideal. Suatu hari, saya beranikan diri untuk mengatakan keputusan saya kepadanya, bahawa saya inginkan penceraian. ”Mengapa?” Dia bertanya dengan nada terkejut.

“Siti letih, Abang tidak pernah cuba memberikan cinta yang saya inginkan.” Dia diam dan termenung sepanjang malam di depan komputernya, nampak seolah-olah sedang mengerjakan sesuatu, padahal tidak. Kekecewaan saya semakin bertambah, seorang lelaki yang tidak dapat mengekspresikan perasaannya, apalagi yang boleh saya harapkan daripadanya? Dan akhirnya dia bertanya. “Apa yang Abang boleh lakukan untuk mengubah fikiran Siti?” Saya merenung matanya dalam-dalam dan menjawab dengan perlahan.

“Siti ada SATU soalan, kalau Abang temui jawapannya di dalam hati Siti, Siti akan mengubah fikiran Siti; Seandainya, Siti menyukai sekuntum bunga cantik yang ada di tebing gunung dan kita berdua tahu jika Abang memanjat gunung-gunung itu, Abang akan mati. Apakah yang Abang akan lakukan untuk Siti?”. Dia termenung dan akhirnya berkata, “Abang akan memberikan jawapannya esok.” Hati saya terus gundah mendengar responnya itu.

Keesokan paginya, dia tidak ada di rumah, dan saya menenui selembar kertas dengan coretan tangannya di bawah sebiji gelas yang berisi susu hangat yang bertuliskan... ‘Sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu untukmu, tetapi izinkan Abang untuk menjelaskan alasannya.” Kalimah pertama itu menghancurkan hati saya. Namun, saya masih terus ingin membacanya. 

“Siti boleh mengetik di komputer dan selalu mengusik program di dalamnya dan akhirnya menangis di depan monitor, Abang harus memberikan jari-jari Abang supaya boleh membantu Siti untuk memperbaiki program tersebut.”

“Siti selalu lupa membawa kunci rumah ketika Siti keluar, dan Abang harus memberikan kaki Abang supaya boleh menendang pintu, dan membuka pintu untuk Siti ketika pulang.”

“Siti suka jalan-jalan di shopping kompleks tetapi selalu tersasar dan ada ketikanya sesat di tempat-tempat baru yang Siti kunjungi, Abang harus mencari Siti dari satu lot kedai ke satu lot kedai yang lain mencarimu dan membawa Siti pulang ke rumah.”

“Siti selalu sengal-sengal badan sewaktu ‘teman baik’ Siti datang setiap bulan, dan Abang harus memberikan tangan Abang untuk memicit dan mengurut kaki Siti yang sengal itu.”

“Siti lebih suka duduk di rumah, dan Abang selalu risau Siti akan menjadi ‘pelik’. Dan Abang harus membelikan sesuatu yang dapat menghiburkan Siti di rumah atau meminjamkan lidah Abang untuk menceritakan hal-hal kelakar yang Abang alami.”

“Siti selalu menatap komputer, membaca buku dan itu tidak baik untuk kesihatan mata Siti, Abang harus menjaga mata Abang agar ketika kita tua nanti, abang dapat menolong mengguntingkan kukumu dan memandikanmu. “ “Tangan Abang akan memegang tangan Siti, membimbing menelusuri pantai, menikmati matahari pagi dan pasir yang indah. Menceritakan warna-warna bunga yang bersinar dan indah seperti cantiknya wajahmu.”

“Tetapi sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu untuk mati. Kerana, Abang tidak sanggup melihat air matamu mengalir menangisi kematian Abang.”

“Sayangku, Abang tahu, ada ramai orang yang boleh mencintaimu lebih daripada Abang mencintai Siti.” “Untuk itu sayang, jika semua yang telah diberikan oleh tangan, kaki, mata Abang tidak cukup bagi Siti. Abang tidak akan menahan diri Siti mencari tangan, kaki dan mata lain yang dapat membahagiakan Siti.”

Airmata saya jatuh ke atas tulisannya dan membuatkan tintanya menjadi kabur, tetapi saya tetap berusaha untuk terus membacanya lagi.

“Dan sekarang, Siti telah selesai membaca jawapan Abang. Jika Siti puas hati dengan semua jawapan ini, dan tetap inginkan Abang tinggal di rumah ini, tolong bukakan pintu rumah kita, Abang sekarang sedang berdiri di luar sana menunggu jawapan Siti.” “Tetapi, jika Siti tidak puas hati, sayangku…biarkan Abang masuk untuk mengemaskan barang-barang Abang, dan Abang tidak akan menyulitkan hidupmu. Percayalah, bahagia Abang bila Siti bahagia.”

Saya terpegun. Segera mata memandang pintu yang terkatup rapat. Lalu saya segera berlari membukakan pintu dan melihatnya berdiri di depan pintu dengan wajah gusar sambil tangannya memegang susu dan roti kesukaan saya.
                                                  

Oh! Kini saya tahu, tidak ada orang yang pernah mencintai saya lebih dari dia mencintai saya. Itulah cinta, di saat kita merasa cinta itu telah beransur-ansur hilang dari hati kita kerana kita merasa dia tidak dapat memberikan cinta dalam ‘kewujudan’ yang kita inginkan, maka cinta itu telah hadir dalam ‘kewujudan’ yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini.

Note:

Cerita yang hampir sama dengan sisi sebenar hidup saya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...